Pagi itu dia bangun awal. Tidaklah seawal mana tapi cukup awal untuk seseorang yang tidur selewat malam tadi. Tatkala terjaga, terasa perit wajahnya digigit-gigit kesejukan pagi. Dalam bermalas-malasan, dia membaca Mathurat Sughra di dalam hati, iyalah, memperbanyakkan amalan di bulan Ramadhan, detik hati kecilnya. Juga mengenangkan keputusan getir yang perlu dibuat hari ini. Dia mengeluh sendirian. Bukan menyesali takdir tetapi kesal dengan lemahnya insan bernama hamba Allah yang terlalu terhad pengetahuannya, terlalu kerdil daripada segi kemampuan. Dia terkenang firman Allah yang cukup membantunya mengharungi hari dalam kehidupan yang penuh ranjau berduri."Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orangnya yang beriman bersamanya berkata, "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."
(Al-Baqarah, 2:214)
Dia beristighfar, astaghfirullahalazim. Sedangkan Nabi s.a.w. kekasih Allah diuji sedemikian rupa, bagaimana pula aku yang entah siapa sahaja pada pandangan Allah. Hinanya aku. Malah aku wajarnya bersyukur diberikan ujian ini kerana ini buktinya Allah memandang aku, supaya aku kembali kepadaNya setelah aku hanyut. Alhamdulillah. Terima Kasih Allah.
Malam tadi sebelum tidur dia berdoa dengan doa usai solat istikharah, mengharap petunjuk dan hidayah daripada Yang Maha Mengetahui, agar disuluh jalan yang terbaik untuk agamanya, untuk dunianya dan untuk kesudahan urusannya buat masa kini dan masa akan datang. Dia tahu, malah terlalu tahu bahawa walau apa pun terjadi dia perlu membuat keputusan, kerana jika dilengah-lengahkan sebenarnya sampai bila? Takkan ke mana sedangkan masih jauh jalan yg perlu diteroka. Laksana seorang pengembara yang terhenti di sebuah persimpangan, menanti kehadiran papan tanda yang entah bila akan dipacakkan. Di kala kebuntuan inilah, hanya kepadaNya kita berharap."Berdoalah kepadaNya dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan."
(Al-A'raf, 7:56)
Malam tadi dia tidur dengan segunung harapan. Andai ingin diberikan nilai, Gunung Everest pun belum tentu dapat menandingi harapan yang terbuku di dada. Dia sedar, hari ini dan hari esok takkan lagi sama. Sudah tentu. The clock is ticking. Dia terkenang peribahasa Arab; masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya ia akan memotong kita. Sambil melelapkan mata dia terkenang sebuah majlis berbuka puasa kira-kira tiga hari yang lalu yang rata-rata dihadiri hampir semua warga lokalitinya. Terpandang wajah insan-insan yang entah mana satu akan dihampakan. Dia belum pasti. Dia tidak sanggup. Sungguh. Seolah-olah ingin saja dia menarik tangan keduanya dan bersama berjuang ke arah matlamat yang satu. Tapi dia tidak boleh. Terlalu di luar batas kudratnya. Mengapa perlu aku menghampakan seorang daripada insan-insan ini? Dia kesal sendirian. Mengenangkan tanah tumpah darahnya sendiri yang hari demi hari semakin hanyut, semakin jauh menyimpang dari Yang Hakiki sehingga membawa kepada perlunya keputusan ini.
Inilah umat akhir zaman. Hadis Nabi s.a.w. menerpa ke telinganya, "Islam itu asalnya dagang dan akhirnya dagang. Dan beruntunglah orang yang Islamnya masih dagang". Tulus hatinya berdoa agar Islamnya dagang sampai bila-bila. Ya, selagi hayat dikandung badan. Amin.
Selesai membaca doa rabithah hati, dia bingkas sambil mengerling laptop yang terpasang di atas meja. 5 darjah Celcius. Patutlah sejuk, tapi masih boleh bertahan utk tidur tanpa alat pemanas, dia cuba menghiburkan diri. Alhamdulillah pagi ini dia dapat merasakan keyakinan itu. Setelah berhari-hari malah berbulan-bulan dia bergelut dengan diri sendiri mencari jawapan yang tak pasti, kini dia yakin. Dia berharap agar keputusan ini tidak dipengaruhi anasir-anasir negatif sebaliknya semata-mata petunjuk daripada Yang Maha Esa. Dia akan mengakhiri kesulitan ini hari ini, hari ini, insyaAllah. Cukuplah air mata ini mengalir Ya Allah. Ku takkan menangis lagi.Di benaknya ikhlas dia berikrar, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah s.w.t., Tuhan sekalian alam.
"Cukuplah Allah menjadi pelindung dan cukuplah Allah menjadi penolong (bagimu)"
(An-Nisa', 4:45)





thanx...2 thumbs up...
semoga hidup kita terus dibawah rahmat Allah SWT..ameen
owh thanks.. insyaAllah, sama2 kita doakan
i understand how do u feel sarah..i was in d shoes as well..
..k ynti..